KUALA TERENGGANU – Kesemua anggota serta pejabat pentadbiran kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman tidak akan dipindahkan ke Menara Darul Iman yang terletak bersebelahan ‘drawbridge’ atau jambatan angkat di pusat bandar raya ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengesahkan perkara itu berkata, ini bermakna jabatan kerajaan sedia ada di Wisma Darul Iman akan kekal beroperasi di situ.

Beliau menjelaskan, perkembangan itu membolehkan kerajaan negeri dapat menjimatkan kos antara RM30 juta hingga RM50 juta.

Menurut Ahmad Samsuri, penjimatan kos tersebut merangkumi urusan perpindahan pejabat dan hal-hal yang berkaitan.

“Dengan keputusan tidak berpindah ke Menara Darul Iman yang baharu itu, dijangkakan antara RM30 juta hingga RM50 juta dapat kita jimatkan.

“Pejabat Menteri Besar dan jabatan-jabatan lain yang sedia ada tak akan dipindahkan, ia kekal di Wisma Darul Iman di sini,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahmad Samsuri seterusnya berkata, menara baharu iaitu Menara Darul Iman itu akan menempatkan pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta agensi lain.

Beliau turut menjangkakan Menara Darul Iman setinggi 30 tingkat itu yang menelan kos RM187 juta siap sepenuhnya akhir tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...