PETALING JAYA – Pengurus jualan sebuah syarikat swasta, Tong Poh Kim, 44, mengaku bersalah atas dua dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kedua-dua kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa dalam sebutan semula kes di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati berkelakuan kurang sopan terhadap seorang anggota polis bernama Koperal Izuan Hasim Nor Hamzah dengan mengeluarkan perkataan idiot ketika berada di Jalan Persiaran Surian Menghala Masuk ke Pelangi Damansara.

Manakala dalam pertuduhan kedua, wanita itu didakwa pada hari, masa dan tempat yang sama telah dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu polis Korporal Izuan Hasim Nor Hamzah daripada menjalankan tugas-tugas dengan fungsi jawatannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu semasa sekatan jalan raya Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Persiaran Surian, Jalan Damansara-Kota Damansara pada 31 Mac lalu, jam lebih kurang 9.40 pagi.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil-Kecil 1955 kerana mengucapkan perkataan tidak sopan kepada penjawat awam.

Dia boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, wanita itu tiba di bilik perbicaraan mahkamah pada jam 9.45 pagi dengan wajah yang pucat dan risau.

Peguam tertuduh, Datuk Suraj Singh merayu mahkamah supaya tertuduh dikenakan denda dan tidak dipenjara dengan mengambil kira faktor kesihatan ibunya yang koma akibat strok sejak 27 Februari lalu.

Katanya, tertuduh dalam kes berkenaan melakukan kesalahan pertama dan tidak pernah terlibat dalam sebarang kes jenayah sebelum ini.

“Tertuduh benar-benar sudah insaf dan minta maaf kepada semua pihak termasuk PDRM kerana kejadian tersebut, selain pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan masa dan kos mahkamah daripada perlu menjalani perbicaraan yang panjang.

“Beliau merayu sangat kerana tekanan emosi dan mental akibat keadaan koma ibu dan terperangkap dalam kesesakan lebih 2 jam mengakibatkan dia hilang kawalan dan bertindak begitu. Dalam kes ini tidak ada pergaduhan atau kekerasan jenayah kecuali perkataan ‘idiot’ dilontarkan tertuduh,” kata Suraj.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya mahu mahkamah mengenakan satu hukuman seadil-adilnya memandangkan kesalahan tertuduh tidak menghormati pasukan keselamatan negara satu kesalahan serius.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Zahfran memutuskan hukuman sebanyak RM100 bagi kesalahan pertama kerana mengucap perkaraan tidak sopan kepada penjawat awam. Jika gagal, tertuduh dipenjara sehari.

Untuk pengakuan bersalah bagi pertuduhan kedua kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas penjawat awam, tertuduh dikenakan denda RM3,000 dan jika gagal penjara satu bulan.

Poh Kim dibawa ke lokap mahkamah sementara menunggu kehadiran rakannya menjelaskan bayaran hukuman yang dikenakan. – MalaysiaGazette

Loading...