Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Jenayah

Wang simpanan RM400,000 tinggal RM100 ditipu sindiket Macau Scam

KUALA TERENGGANU – Seorang guru kerugian hampir RM400,000 selepas terpedaya taktik ahli sindiket Macau Scam yang mengatakan dirinya terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 50 tahun itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapati wang simpanannya hampir RM400,000 hanya berbaki RM100, semalam.

Menurut sumber, kejadian bermula pada 18 Mac lalu apabila mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun berkenaan.

Sumber berkata, mangsa melakukan sedemikian selepas menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali memaklumkan yang dia ada membuat pinjaman dengan sebuah bank sebanyak RM50,000.

“Bagaimanapun,selepas dinafikan, individu berkenaan memberitahu kononnya mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan kepada ‘pegawai polis’.

“Individu menyamar sebagai pegawai polis itu menceritakan tentang kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang terlalu percaya dengan apa yang diberitahu tanpa berlengah terus membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun sahaja seperti diarahkan.

“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya sudah tertipu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén