Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Wan Saiful jadikan PTPTN paling ‘bangsat’, kata Adam Adli

Aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim mengecam Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar pinjaman.

Adam mendakwa cadangan itu bercanggah dengan aspirasi PH.

“Wan Saiful tidak membuat kerja ikut aspirasi PH.

“Dia ingat diri dia lagi besar daripada kerajaan sebab buat keputusan bercanggah dengan kerajaan. Asyik bagi alasan menjengkelkan dengan kata nak bincang.

“Dia menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan yang dibangkitkan dalam taklimat awam pentadbiran tinggi PTPTN, semalam.


Tambah Adam, perkembangan terbaru berhubung isu PTPTN itu menunjukkan Wan Saiful tidak menyelesaikan masalah berbangkit meskipun sudah menjawat jawatan sebagai pengerusi perbadanan itu sejak Jun tahun lalu.

“Saya tak faham apa rasional kenakan sekatan seperti halang luar negeri macam ini, untuk dijadikan satu cadangan yang boleh diambil kira.

“Macam mana dia nilai prestasi diri sendiri?

“Wan Saiful sepatutnya bantu pelajar untuk jelaskan hutang. Ini tidak, bangkit isu lama pasal sekatan ini lagi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata cadangan itu hanya “salah faham” dan “bukan daripada PTPTN”.

Jelas Maszlee ia sekadar dikemukakan dalam rundingan awam bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Dalam taklimat bersama media yang turut dihadiri Wan Saiful semalam, pentadbiran PTPTN memaklumkan bahawa pihak mereka sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, ia termasuklah cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah bahawa sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Bukan lubuk buat duit

Mengulas lanjut, Adam menegaskan bahawa pinjaman pendidikan bukan pinjaman komersial.

Katanya, PTPTN ditubuhkan untuk meningkatkan pendidikan rakyat dan bukannya lubuk untuk meraih keuntungan.

“Jangan jadikan PTPTN itu sama macam syarikat korporat kewangan lain. Jangan mengambil kesempatan atas peminjam yang tiada pilihan.

“Mereka ini sebenarnya bukan ada banyak pilihan. Sudah jadi tradisi pelajar masuk universiti ambil pinjaman PTPTN, jadi jangan ambil kesempatan,” katanya.

Dalam manifesto sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam PTPTN telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa kerana kedudukan kewangan negara dikatakan belum kukuh.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén