PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim yakin akan tetap menjadi perdana menteri kelapan walau timbul perpecahan dalam parti itu apabila timbalannya diserang dengan tuduhan seks.
Katanya, pemimpin PKR tetap sependapat bahawa tuduhan seks dihadapi Timbalan Presiden Azmin Ali adalah langkah politik yang jijik.
Beliau menjelaskan kedudukan PKR yang dikatakan retak pada waktu ini susulan kenyataan Azmin yang menegaskan tuduhan seks itu didalangi pihak tertentu dalam parti.
“Ada hebahan konon ada keretakan kerana isu ini. Kita serah kepada Lembaga Lisiplin yang memutuskan beberapa hal dan dimaklumkan kepada Biro Politik yang dihadiri oleh semua kecuali timbalan presiden.
“Keputusan ini secara konsensus dan ternyata ini telah dipersetujui. Begitu juga pertemuan saya dengan pimpinan Sabah and Sarawak,” kata Anwar.
Jelasnya walau para pemimpin berkenaan menuntut penjelasan, mereka tetap setuju dengan pendirian bahawa tuduhan atas Azmin adalah perkara jijik.
“Mereka mahu beberapa keterangan tetapi setuju dengan keputusan parti bahawa kita tolak budaya jijik dalam politik ini dan kita serah siasatan sepenuhnya kepada PDRM, SKMM dan badan-badan bertanggungjawab yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tuduhan seks ke atas Azmin akan mencemarkan parti dan menjejaskan peluang beliau untuk mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya lagi, biro politik turut mendengar pandangan dari Zuraida Kamaruddin, naib presiden PKR yang lantang menyokong Azmin dalam isu skandal seks tersebut.
Zuraida hari ini dilaporkan mendesak PKR supaya memecat Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz atas tuduhan melakukan seks dengan Azmin.
Menurut Anwar, biro politik bagaimanapun memutuskan untuk bersetuju dengan cadangan lembaga disiplin parti untuk memberi tempoh 14 hari kepada Haziq untuk menjelaskan tindakannya.
“Beliau (Zuraida) hadir dalam mesyuarat hari ini. Pemuda and ketua Wanita ada. Semua memberikan pandangan masing-masing tetapi keputusan secara konsensus dibuat berdasarkan cadangan daripada Lembaga Disiplin parti,” kata Anwar.
Lembaga disiplin memberi tempoh tersebut kepada Haziq untuk menjelaskan tindakan beliau membuat kenyataan secara terbuka yang mencemarkan imej dan pimpinan parti.
Pengerusinya, Ahmad Kasim berkata keputusan tersebut antara empat langkah yagn dirumuskan dalam mesyuarat biro tersebut Ahad lalu sebelum dibentangkan kepada biro politik petang ini.
Kata Ahmad, lembaga disiplin juga mengambil maklum penafian yang dibuat oleh Azmin dan akan meneliti sebarang penjelasan pada masa akan datang.
Tuduhan seks ke atas Azmin itu timbul melalui sebaran beberapa rakaman video sejak Selasa minggu lalu
Haziq pada keesokannya mendakwa dirinya merupakan individu dalam rakaman tersebut dan mendakwa melakukan aksi berkenaan dengan Azmin.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya. – 19 Jun, 2019.
Leave a Reply