Bukan sekadar blog

Berita Utama

Waktu operasi ATM dihadkan kepada 7 pagi hingga 10 malam

KUALA LUMPUR: Terminal layan diri kewangan seperti ATM, wang tunai, cek dan mesin deposit syiling akan beroperasi sepenuhnya di lokasi yang boleh diakses seperti premis dan kawasan yang tidak terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

Bagaimanapun, operasi harian untuk semua terminal layan diri termasuk ATM akan dihadkan dari jam 7 pagi hingga 10 malam, demikian seperti yang disenaraikan dalam pertanyaan lazim (FAQ) oleh Bank Negara Malaysia mengenai perkhidmatan penting semasa MCO.

“Bank Negara dan semua bank sudah mewujudkan infrastruktur yang perlu bagi memastikan ATM di seluruh negara akan terus ditampung dengan wang tunai yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semua isi rumah serta perniagaan semasa tempoh MCO,” katanya.

Untuk perbankan dalam talian seperti perbankan elektronik, perbankan mudah alih, perkhidmatan kad pembayaran dan pemprosesan cek, semua perkhidmatan itu masih beroperasi manakala perkhidmatan pertukaran serta pengiriman wang boleh didapati di cawangan bank.

Bank Negara berkata, semua pembekal perkhidmatan kewangan akan terus beroperasi seperti biasa tetapi dirangka dengan mematuhi langkah jarak sosial yang lebih sesuai, berdasarkan kepada peraturan MCO sebagai menjamin keselamatan dan kesihatan pelanggan termasuk kakitangan pembekal perkhidmatan kewangan.

“Penyedia perkhidmatan kewangan yang mendapat kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh ini adalah bank, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan takaful. Tetapi, orang ramai perlu menjangkakan beberapa gangguan atau kelewatan dalam urusan mereka.

“Sesetengah cawangan mungkin akan ditutup dan cawangan yang dibuka akan mempunyai perkhidmatan kaunter yang terhad atau penutupan waktu operasi yang lebih awal,” katanya.

Bagaimanapun, bank pusat menjelaskan bahawa transaksi perbankan biasa masih boleh dilakukan melalui perbankan dalam talian atau mudah alih dan jika pelanggan tidak mempunyai akaun dalam talian, mereka masih boleh mengeluarkan wang atau membuat deposit tunai, pemindahan dana serta pembayaran bil melalui terminal-terminal layan diri seperti ATM dan mesin deposit tunai.

“Jika anda perlu membuat perjalanan ke bank atau syarikat insurans, sila semak laman web mereka terlebih dahulu untuk mengesahkan cawangan-cawangan yang dibuka atau memanggil talian hotline perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply