Bukan sekadar blog

Politik

Video ‘pujuk’ ADUN Pilah tular

PENULARAN rakaman video memaparkan dua wanita ‘memujuk’ individu dikatakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Mohamad Nazaruddin Sabtu supaya keluar dari kereta menjadi perbualan hangat netizen.

Video berdurasi dua minit 17 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook sejak petang tadi menunjukkan kereta Nazaruddin berada di hadapan Wisma Negeri, Seremban, namun beliau dikatakan enggan keluar daripada kenderaannya.

Lebih menguatkan perkara itu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah itu tidak hadir pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan Nazaruddin berada di Wisma Negeri dan tidak dapat menyertai persidangan DUN kerana masalah kesihatan.

“Memang dia (Nazaruddin) ada di sini (Wisma Negeri), tetapi dia tak sihat. Jadi kita tidak halang untuk dia tidak datang (Sidang DUN).

“Malah, tiada soalan lisan yang berkaitan portfolionya hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang DUN berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai desakan pihak tertentu supaya Nazaruddin melepaskan jawatannya, Aminuddin berkata tindakan itu adalah tidak wajar.

“Dia cuma tak sihat, ramai saja orang yang bekerja di kerajaan tak sihat. Takkan nak berhentikan seseorang dengan alasan itu,” katanya.

Meskipun berdepan masalah kesihatan, Aminuddin berkata, Nazaruddin masih menjalankan kerjanya seperti biasa.

Loading...

Leave a Reply