Bukan sekadar blog

Politik

Undi DAP tak akan jadi orang Kristian, kata Shafie Apdal

Sokongan terhadap DAP pada pilihanraya kecil Sandakan tidak akan menyebabkan akidah seorang umat Islam itu gugur dan tiba-tiba bertukar menjadi panganut Kristian, kata Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal.

“Ada orang Islam takut dan bimbang (bertanya) kenapa kamu undi (DAP berlambang) roket itu. (Katanya) itu Kristian…Tapi kita jangan persoalkan agamanya dan bangsanya.

“(Bagaimana pula jika) akan datang, PAS berucap mesti sokong calon PBS, bayangkan PAS mahu sokongnya?

“Kamu tahu kalau PAS sokong PBS, pengundi Cina pun kena berhati-hati untuk sokong PBS. Kalau dia sokong nanti haram ini haram itu. Susah nanti.

“Bayangkan dalam politik kita kena hati-hati dan teliti, kita tahu haram, kita tahu halal.

“Bagi kita mana haram jangan makan, makan halal dan asingkan. Tidak betul kita sokong DAP akan jadi orang Kristian, kita kekal sebagai Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mengalu-alukan bekas timbalan ketua menteri Sabah Raymond Tan yang menyertai Warisan petang tadi di Sandakan.

Menjelaskan lanjut, Shafie yang juga ketua menteri Sabah berkata penyertaan DAP dalam kerajaan negeri yang dipimpin Warisan tidak menukar akidah beliau.

“Saya sokong DAP bekerjasama dengan kita (dalam kerajaan Sabah). Bukan (menjadikan) saya Kristian, saya masih Islam, ia masih di dalam hati saya,” tegasnya.

Shafie yang juga MP Semporna berkata kerjasama dengan DAP membolehkan beliau berunding dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Loading...

Dengan nada berseloroh beliau berkata: “Saya sudah bagi tahu Lim Guan Eng, anda jangan macam-macam. Saya ketua menteri Sabah, anda kena bagi peruntukan kepada Sabah.”

Menurut beliau, sekiranya DAP berjaya mempertahankan kerusi parlimen Sandakan, suara Sabah akan lebih didengar diperingkat persekutuan.

“Yang penting kita pastikan calon DAP pada kali ini kita pastikan kemenangan dia bukan hanya tingkatkan majoritinya. Kita nak paparkan supaya PRK ini bukan Cameron Highlands dan Semenyih, ini Sandakan.

“Betul? Jangan kita kalah, boleh? Jangan hari ini boleh, esok 11 Mei tak boleh pula. Saya bimbang ini,” katanya yang bersambut sorakan “ya” daripada kira kira 300 ahli dan penyokong Warisan.

Malaysia menyaksikan tujuh pilihan raya kecil berlangsung termasuk di Sandakan selepas PRU14 tahun lalu.

PH menang PRK di DUN Seri Setia, Sungai Kandis, Balakong dan di parlimen Port Dickson.

Sementara itu sejak Januari ini, PH gagal menguasai PRK parlimen Cameron Highlands dan DUN Rantau, selain terlepas DUN Semenyih yang dimenangi Bersatu pada pilihan raya umum ke-14.

Loading...

Leave a Reply