Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

UMNO dan Pas Terengganu makin akrab, mesra

KUALA TERENGGANU – Kesepakatan, keakraban serta kemesraan yang dipayungi semangat penyatuan ummah antara UMNO dan Pas di negeri ini kian menyerlah.

Kemesraan yang terjalin dan bukan dibuat-buat itu jelas terpancar di wajah para pemimpin kedua-dua parti Melayu itu sesudah sekian lama dinanti dan hari ini ukhuwah akhirnya menjadi realiti.

Malah hubungan berpaksikan semangat kekeluargaan memberi suatu gambaran positif ke arah pembentukan kerjasama padu dalam menentukan hala tuju politik antara kedua-dua belah pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Suasana kemesraan itu dirakam pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pas Negeri Terengganu di sini kelmarin yang turut dihadiri barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Kehadiran beliau disambut mesra oleh kepemimpinan Pas Terengganu antaranya, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang; Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Sehari selepas itu, para pemimpin Pas pula kelihatan bertandang ke majlis Hari Raya Aidilditri dengan UMNO Bahagian Kuala Terengganu pula menjadi tuan rumah yang berlangsung di pekarangan kediaman Wan Hisham di sini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan beliau terkenal dengan celotehnya sehingga membuatkan para hadirin tidak kering gusi.

Turut kelihatan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam; barisan kepemimpinan UMNO negeri dan bahagian Kuala Terengganu termasuk Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd. selain para pemimpin Pas negeri.

Antara kepemimpinan Pas negeri yang hadir ialah ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Ahmad Shah serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, UPDI, Mohd. Shoud Said.

Lebih manis, keakraban dan kemesraan sesama mereka begitu terserlah ketika para pemimpin antara dua parti berkenaan saling suap menyuap kek sambil ketawa mesra. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén