Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tuak kurma dapat sambutan tinggi ketika Ramadan

UASAHA keras seorang usahawan yang menanam ratusan pokok kurma 19 tahun lalu, berbaloi apabila beliau kini mampu menghasilkan air nira kurma sehingga mendapat sambutan menggalakkan.

Malah difahamkan, Mohd Zain Mohamad, 59, adalah satu-satunya pengusaha nira kurma di negara ini, menyebabkan beliau tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Rasa yang enak berbanding air nira kelapa menyebabkan nira kurma itu menjadi sebutan dan permintaan dijangka semakin meningkat menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Pada mulanya, percubaan Mohd Zain menanam pokok kurma di tanah seluas 0.3 hektar itu sebagai hobi saja tanpa mempunyai ilmu khusus berhubung penjagaan pokok kurma.

Disebabkan tiada ilmu, pokok kurma yang sepatutnya mengeluarkan buah menjadi pokok jantan, dan ini menyebabkan dia mencari maklumat untuk mendapatkan hasil daripada pokok berkenaan.

Bermula tahun lalu, kira-kira 200 pokok kurma yang ditanam itu mula mengeluarkan hasil apabila Mohd Zain mampu menghasilkan nira atau lebih dikenali sebagai ‘tuak kurma’ di Kelantan.

“Alhamdulillah usaha saya tidak sia-sia apabila saya kini digelar pengusaha nira kurma. Malah, saya adalah satu-satunya pengusaha nira kurma di Malaysia.

“Air nira kurma bukannya diproses dengan buah kurma sebaliknya air berkenaan mengalir dari pokok kurma, namun warna airmya lebih kurang sama dengan nira kelapa. Untuk mengeluarkan air kurma, bahagian batang perlu ditoreh terlebih dahulu.

“Alhamdulillah sambutan terhadap nira kurma amat menggalakkan sehingga saya tidak menang tangan. Setiap botol nira kurma yang mengandungi 250 ml dijual dengan harga RM15,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Teras, Binjai, Kota Bharu.

Mohd Zain berkata, setiap pokok kurma mampu menghasilkan empat liter air setiap hari, namun bekalan yang ada itu masih tidak mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan.

“Saya tidak menjual di kedai sebaliknya mereka akan datang ke rumah saya untuk mendapatkan tiga barangan berkenaan. Namun, untuk cuka kurma, saya berusaha untuk mengkomersilkan memandangkan ia banyak khasiat.

“Selain ahli keluarga, saya terpaksa menggunakan khidmat pekerja Bangladesh bagi menghasilkan air nira, memandangkan terlalu sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan.

“Selain nira kurma, saya turut menghasilkan manisan gula melaka dan cuka daripada tanaman berkenaan,” katanya.

Mohd Zain berkata, kos untuk sepohon pokok kurma adalah RM1,000 hingga RM2,000, namun dia tidak membelinya memandangkan kos terlalu mahal.

“Untuk menghasilkan setiap pokok seperti sekarang, saya semai daripada biji kurma yang berkualiti lagi sebelum tumbuh menjadi pokok dan membesar dengan baik.

“Ada sekumpulan individu daripada Thailand sanggup datang untuk berguru dengan saya bagaimana cara menghasilkan tuak dan menanam pokok, namun saya tidak mengajar kerana ini adalah punca rezeki kami,” katanya.

Loading...

Leave a Reply