Bukan sekadar blog

Politik

Tok Mat, 4 MB pembangkang di pentas Muktamar Pas

KUANTAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama rombongan parti itu menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukan) di sini hari ini.

Antara yang menyertai rombongan itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di samping pimpinan parti komponen, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Selain mereka, turut hadir ialah empat teraju kerajaan negeri pembangkang iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Kehadiran kesemua pemimpin itu membuktikan keserasian hubungan kedua parti yang makin terserlah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tahun lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO melakar langkahan sejarah baharu hubungan dua parti Melayu Islam terbesar itu apabila menghadiri Muktamar Tahunan Pas di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Terengganu, Terengganu.

Pada Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat Ke-59 pada 15 Jun lalu, Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar hadir sebagai wakil pergerakan berkenaan di samping Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sekali lagi berbuat demikian pada program sama yang diadakan di Pusat Konvensyen, Bukit Gambang Resort City (BGRC) Khamis lalu.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 selama tiga hari yang merupakan kemuncak acara tahunan tersebut bermula hari ini dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar sebentar lagi. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply