Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Tiga tahun saya dicemuh, tak dibenarkan ceramah’ – PU Faiz syukur menang kes pukul wanita

ISU Pencetus Ummah (PU) Faiz yang didakwa mencederakan seorang wanita bernama Nurul Intan Sakinah pada September 2016 berakhir dengan kemenangan berpihak kepadanya.

Menurut PU Faiz atau nama sebenarnya Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli, 30, dia bersyukur apabila pihaknya menang dalam saman fitnah terhadap individu tersebut.

Kata Faiz, Mahkamah Sesyen Shah Alam mengeluarkan surat perintah agar Nurul Intan membayar ganti rugi fitnah dan ganti rugi teruk sebanyak RM153,000 kepadanya dalam tempoh 14 hari bermula Rabu.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila menang saman fitnah terhadap wanita tersebut. Mahkamah sudah memutuskan kemenangan itu berpihak pada saya sejak Februari lalu.

“Tapi surat perintah daripada mahkamah dikeluarkan pada Rabu dan nenerusi perintah itu, wanita tersebut perlu membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari,” katanya kepada mStar.

Selain ganti rugi, wanita tersebut perlu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi mana-man akhbar tempatan mengikut terma yang dipersetujui pihak Faiz.

Sebelum ini, nama naib juara program Pencetus Ummah musim kedua ini mula menjadi perhatian apabila dia didakwa mencederakan Nurul Intan di Tahfiz Pondok Rumi Sufi Jawi, Kota Damansara pada 26 September 2016.

Pada 7 Mac 2017, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskan (DNAA) PU Faiz daripada pertuduhan mencederakan individu tersebut.

Dalam pada itu, Faiz berharap dengan keputusan berpihak kepadanya itu dapat membersihkan nama program Pencetus Ummah dan keluarganya.

Faiz berharap dengan keputusan mahkamah itu dapat membersihkan nama dia dan keluarga

Tambah Faiz lagi, selama tiga tahun dia dan keluarganya terpaksa berhadapan dengan kecaman serta tidak dibenarkan untuk berceramah.

“Saya berharap dengan keputusan kemenangan berpihak kepada saya ini dapat membersihkan nama saya.

“Selama tiga tahun saya terpaksa berdepan dengan kecaman netizen di laman sosial. Malah, keluarga saya juga dicemuh oleh orang luar yang tidak mengetahui cerita sebenar.

“Ada beberapa buah masjid turut tidak membenarkan saya mengajar lagi di tempat mereka. Sekolah pondok saya juga terjejas dengan isu tersebut,” ujarnya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén