Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tiga remaja rosakkan makanan dibebaskan

SEREMBAN – Tiga remaja lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu rakaman video merosakkan makanan di sebuah kedai serbaneka di Nilai dekat sini baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, ketiga-tiga suspek berusia 18 dan 20 tahun itu dibebaskan selepas tempoh reman selama empat hari ke atas mereka berakhir.

“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan tiada pertuduhan akan dibuat. Tindakan reman untuk siasatan telah dilakukan dan ia memadai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Rakaman video menunjukkan salah seorang daripada lelaki itu merosakkan makanan tular dalam media sosial menyebabkan laporan polis dibuat pengurus premis tersebut.

Berdasarkan rakaman itu, salah seorang lelaki terbabit memicit roti, menggoncang kek, meminum minuman berbotol dan mengalihkan barang-barang dari rak jualan kedai sambil dirakam rakannya.

Ketiga-tiga suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Nilai sebelum ditahan reman selama empat hari bermula 22 Jun lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply