Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tiada jiwa jurutera, graduan jual donat raih untung berlipat ganda

PORT DICKSON — Dari seorang pelajar Kejuruteraan Awam, kini bergelar pembuat donat dan pastri, bukanlah sesuatu yang memalukan sebaliknya ia sesuatu yang membanggakan bagi Muhamad Nazmi Morad, 28, meskipun saban hari ada sahaja yang mempertikaikan kenapa dan mengapa beliau tidak meneruskan kerjaya sebagai jurutera.

Namun, sejak dari mula mengambil keputusan kira-kira tiga tahun lepas untuk melangkah masuk dalam dunia pembuatan donat dan pastri ini, Muhamad Nazmi amat yakin ia bakal memberikan kejayaan bagi dirinya bahkan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Ternyata, bidang yang didambakannya ini bukan satu keputusan yang salah dan selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan donat dan pastri yang dikenali sebagai Bite’s Story, anak muda ini kini sudah mempunyai 10 pekerja, dua buah gerai jualan, dan bakal membuka cafe dan kilang pembuatan tahun ini.

Menceritakan mengenai perjalanannya dalam perniagaan donat dan pastri ini, Muhamad Nazmi berkata ia bermula selepas beliau menamatkan pengajian, pada 2016 apabila beliau membuka sebuah francais perniagaan pastri.

“Terus terang saya terlibat dalam dunia ini memang keluarga saya, mak, ayah dan adik beradik tidak setuju kerana sebagai anak bongsu mereka mahu saya mewarisi kerjaya ayah sebagai jurutera.

“Tetapi saya hanya dapat teruskan pengajian Diploma Kejuteraan Awam di Politeknik Port Dickson dan bekerja selama lima bulan sahaja, keinginan untuk bekerja sediri dan membuka perniagaan lebih tinggi.

“Kebetulan saya juga jenis yang sukakan benda-benda yang cantik, decor dan sebagainya jadi saya pilih untuk terlibat dalam industri pastri dan kek.

“Jika selama ini tiada seorang pun dalam rumah yang menggunakan oven, alatan membuat kek dan pastri ini, sayalah yang membawa masuk alatan membuat kek dan bereksperimen dengan pelbagai resepi termasuk dari YouTube.

“Dua bulan sahaja saya sudah mahir dengan alatan dan bahan-bahan serta mampu menghasilkan kek dan pastri dengan baik dan pada 2016 saya buka francais kek dan pastri yang agak terkenal di Seremban dan saya usahakannya di Politeknik Port Dickson bermodalkan RM15,000 yang disumbangkan oleh keluarga dan adik-beradik,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Setahun mengusahakan perniagaan francais itu, pada 2017 Muhamad Nazmi akhirnya membuat keputusan untuk berdiri di atas produk dan jenamanya sendiri dan lahirlah Bite’s Story yang diusahakan bersama rakan baiknya yang juga pelajar lepasan bidang Kejuruteraan Awam.

“Masa usahakan perniagaan francais, bahan mentah semua sudah siap dan saya hanya jual sahaja, saya tidak dapat capai kepuasan di situ, kebetulan masa nak mulakan Bite’s Story, saya terpilih menyertai Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) di bawah Majlis Amanah Rakyat, selama tiga minggu saya ikuti program latihan dan di sinilah pembentukan jati diri, ilmu usahawan yang lebih baik saya peroleh.

“Dari LPU jugalah saya peroleh geran RM10,000 untuk mulakan Bite’s Story. Dengan modal yang ada ini, saya lantik seorang pastri chef untuk dapatkan ilmu-ilmu tambahan di samping mengolah resepi sendiri di mana saya hasilkan donat, biskut, tart dan pastri di bawah jenama Bite’s Story di Politeknik Port Dickson dan cawangan di PD Famous,” katanya.

Muhamad Nazmi berkata, produk utama Bite’s Story ialah donat yang mana ketika ini sebanyak 60 menu donut ada dijual dan keistimewaan menu donut Bite’s Story boleh diolah sendiri oleh pelanggan.

“Selalunya kalau pergi kedai donut kita hanya boleh beli perisa atau gabungan perisa yang ada sahaja tetapi di Bite’s Story pelanggan boleh buat atau gabung sendiri perisa apa yang mereka mahukan dan perisa atau gabungan perisa yang terbaik dari pelanggan kita akan jadikan sebahagian daripada menu Bite’s Story.

“Setakat ini kita sudah ada 16 daripada 60 menu donut adalah ilham dari pelanggan sendiri,” katanya.

Dari segi jualan, Bite’s Story di Politeknik Port Dickson boleh mencecah 1,000 ke 1,200 biji setiap hari dan kalau terdapatnya sebarang majlis atau majlis konvokesyen, jualannya boleh mencecah sehingga 2,000 biji sehari.

“Jualan di PD Famous pula boleh cecah sehingga 700 biji sehari, di samping itu saya juga usahakan donut mini apabila saya berkoloborasi dengan 11 syarikat ‘event dan wedding planner’ sejak awal tahun 2019 dan ketika ini setiap minggu gerai Bite’s Story akan berada di majlis-majlis dan majlis perkahwinan,” katanya.

Muhamad Nazmi berkata meskipun pendapatannya kini boleh mencecah tiga hingga empat kali ganda jika dibandingkan dengan pendapatan sekiranya beliau meneruskan kerjaya sebagai jurutera, namun ia tidak datang bergolek sebaliknya hati yang cekal dan kerja kuat menjadi faktor kejayaan itu. — Bernama

Loading...

Leave a Reply