Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

TH tak wajib bagi hibah, kata perunding kewangan

KUALA LUMPUR: Ramai menganggap konsep pemberian hibah oleh Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sama dengan dividen dalam pelaburan lain, namun hakikatnya ia adalah dua perkara berbeza.

Hibah ialah satu pemberian bersifat sukarela yang boleh jadi tidak diberikan pada tahun tertentu, berikutan ia menggunakan kaedah nilai aset mesti melebihi liabiliti, kata perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir.

Merujuk Akta Tabung Haji 1995, beliau berkata, wujud kekeliruan dalam masyarakat yang rata-rata beranggapan hibah TH wajib diberikan setiap tahun.

“Ada rakyat yang tak faham apabila mereka menyebut, hibah ini setiap tahun ada. Sebenarnya tidak.

“Apabila disebut hibah, ia terpulang, sukarela. Nak beri berapa, ikut dialah. Kalau dividen, lain, mungkin ada pulangan, ada justifikasinya.

“Dalam kes dividen, setiap tahun yang ada keuntungan, kena bagi. Tetapi, dalam sistem Akta TH, nak bagi hibah ada peraturannya. Berlainan dari pelaburan lain,” kata Shamsuddin.

Penjelasan berkenaan diberikan beliau susulan mesyuarat jemaah menteri hari ini yang akan membincangkan isu berkenaan kedudukan kewangan TH termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan semula, termasuk pembayaran hibah yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut Akta Tabung Haji 1995, hibah ialah hadiah yang diisytihar TH berdasarkan konsep Wadiah Yad Dhamanah, iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa.

Hibah tidak wajib dibayar oleh TH dan walaupun dibenarkan, ia tidak boleh dijadikan amalan tetap bagi mengelak daripada amalan tersebut dikira sebagai ‘urf’ (kebiasaan)

Seksyen 22 (1) akta tersebut menyatakan, TH boleh mengikut budi bicara mutlaknya menentukan pada bila-bila masa sama ada wajar untuk mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh agih berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang itu.

TH juga hendaklah mendapatkan kelulusan Menteri bagi mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang itu

Seksyen 22 (2) pula menyatakan, iika suatu perisytiharan dibuat di bawah subseksyen (1), TH hendaklah menentukan cara, amaun dan masa bagi mengkreditkan untung boleh agih itu kepada setiap pendeposit.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén