SEREMBAN: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak akan menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri akur dengan keputusan rakyat dan akan terus meneliti segala kelemahan supaya dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.
Beliau yang juga Pengerusi PH negeri, berkata walaupun berdepan kekalahan, hasil undi yang diraih calon PH didapati meningkat berbanding Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU-13).
“Nak bertanding dengan beliau (Mohamad) memang sukar. Tempoh 24 hari untuk PH mengambil alih kawasan ini tidak cukup, malah kerajaan negeri pun baru mentadbir selama setahun.
“Bagaimanapun, kita masih lagi mempunyai 20 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di Negeri Sembilan, berbanding 16 yang kini dimiliki pembangkang.
“Walaupun jumlah peratusan pengundi ramai, tetapi jumlah yang diraih adalah hampir sama dengan sebelum ini. Jumlah pengundi kepada PH pula bertambah, maka kita lihat kawasan ada potensi untuk diambil alih pada masa akan datang,” katanya dalam pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Bandar Ekar, Rantau, di sini, malam ini.
Ditanya mengenai prestasi pengundian awal membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memihak kepada BN, Aminuddin berkata ia mungkin kerana penjawat awam masih terbiasa dengan keadaan pentadbiran lama.
“Penjawat awam dah biasa dengan cara kerajaan dulu yang sudah mentadbir selama 60 tahun, mungkin mereka tidak faham dengan inisiatif kerajaan baharu. Kita pun sentiasa memberi tumpuan terhadap kebajikan mereka.
“Bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di peringkat pusat dan kaji punca keputusan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peratusan sokongan pengundi Cina dan India juga tidak mencapai tahap maksimum dan perkara itu juga harus diteliti.
“Kita juga akan buat post-mortem (bedah siasat) mengenai keputusan malam ini, mungkin juga disebabkan Dr Streram bukan orang tempatan seperti Mohamad, membuatkan ramai pengundi tidak mahu memilihnya,” katanya.
Leave a Reply