“Terima kasih Dr Julian Ong,” demikian ucapan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, bapa kepada Ainul Mardhiah buat Dr Juling Ong yang bertanggungjawab menjalankan pembedahan membuang ketumbuhan di mulut anaknya, semalam.
Menurut Ahmad Safiuddin, Dr Ong merupakan doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial serta menjadi orang paling kanan dalam rawatan Ainul.
“Pembedahan sangat lancar, malah lebih baik daripada yang dijangka. Ketumbuhan (pada mulut Ainul) berjaya dibuang mengikut perancangan,” kata Dr Ong.
Berdasarkan maklumat awal, Dr Ong yang berasal dari Pulau Pinang menjelaskan, sampel ‘biopsi’ terhadap tumor pada mulut bayi terbabit terdiri daripada komponen sel kanser dan bukan kanser.
Katanya, keutamaan kini terarah kepada usaha untuk merehatkan Ainul menerusi jagaan rapi petugas perubatan supaya luka pembedahan berupaya pulih secepat mungkin, sebelum kesihatan bayi berkenaan dinilai semula.
“(Ketika pembedahan) tidak banyak berlaku pendarahan. Syukur, Ainul berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang proses pembedahan dilakukan. Ketumbuhan pada mulutnya sangat besar.
“Sekarang, kita perlu pastikan Ainul selesa dalam jagaan rapi, biarkan dia rehat dan lukanya sembuh, kemudian kita akan teliti semula perkembangannya untuk tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengesahkan sel kanser mulutnya tidak berulang.
“Ainul juga akan diberi ubat tahan sakit dalam jumlah yang bersesuaian bagi membantu melegakannya daripada operasi pembedahan,” katanya.
Leave a Reply