Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Teresa Kok ketuai misi promosi minyak sawit di Eropah

Menteri Industri Utama Teresa Kok sedang mengetuai misi promosi dan ekonomi minyak sawit ke London (United Kingdom), Brussels (Belgium), Berlin (Jerman), dan Rom (Itali) pada 3 hingga 13 Mei ini.

Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan berkata delegasi beliau akan terdiri daripada para pegawai kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

“Sepanjang misi, beliau akan berbincang dengan para pegawai dan pemegang kepentingan yang berpengaruh dari kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang juga merupakan rakan perdagangan penting minyak sawit di kesatuan tersebut.

“Misi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mempromosikan minyak sawit dan produk-produk berasaskan kelapa sawit di dalam pasaran utama termasuk bagi menangani sentimen anti minyak sawit di rantau berkenaan,” katanya.

Ia juga akan membantu Malaysia memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala dengan pasaran penting itu dan memahami perspektif mereka mengenai pelaksanaan domestik Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) dan sektor minyak sawit secara menyeluruh.

Teresa juga akan melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, sebuah pusat promosi dan penyelidikan di bawah Lembaga Getah Malaysia yang terletak di UK.

– Bernama

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén