Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Terengganu terus tunai janji beri lesen motor percuma

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian lesen motosikal percuma, di bawah Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia adalah salah satu komitmen kerajaan dalam menunaikan janji manifesto Pas pada PRU14 yang lalu.

Menurutnya, kerajaan juga berjaya melaksanakan janji itu tidak sampai setahun memerintah dengan manfaat kepada 25,000 peserta bagi program itu.

“Peruntukan sebanyak RM7 juta dibuat bagi pelaksanaan program ini. Sejak hebahan bermula awal Januari 2019, kita mendapat 49,564 permohonan untuk menyertai program ini.

“Daripada jumlah itu, Parlimen Kemaman mencatatkan permohonan tertinggi iaitu 8,484 permohonan manakala Parlimen Hulu Terengganu merekodkan permohonan paling rendah iaitu 4,189 orang.

“Bagi pemohon yang gagal untuk tahun ini, mereka boleh mohon lagi tahun depan dengan mengisi kembali borang, jika ada sebarang maklumat yang perlu diubah dan diperbaharui. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang gagal pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2019 di Batu Buruk Driving Academy (BBDA), di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan wakil pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Wan Sozaini Wan Sohaimi.

Jelas Wan Sukairi, pemberian lesen percuma itu merupakan komitmen bersungguh yang telah berjaya dilakukan dan telah memberi manfaat kepada 25,000 rakyat Terengganu yang berumur antara 16 hingga 40 tahun.

“Sebanyak 12 institut memandu yang terlibat bagi menjayakan program ini di seluruh Terengganu dan bagi saya, ia mencukupi untuk mengendalikan semua peserta yang terpilih.

“Melalui pemberian lesen motosikal kepada belia ini, kita harap ia dapat mengurangkan gejala rempit tanpa lesen, dengan pendedahan melalui taklimat-taklimat yang telah diatur sepanjang menjalani ujian untuk mendapatkan lesen, supaya golongan ini lebih peka akan bahaya-bahaya di jalan raya dan kesannya.

“Selain itu, kerajaan juga mahu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén