JABATAN Bomba dan Penyelamat Terengganu menjadi perintis
mewujudkan pasukan penyelamat wanita di air bagi membantu kes lemas membabitkan mangsa wanita.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, 17 pegawai bomba wanita dilatih bagi mengisi kekosongan 15 tempat dalam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Anggota yang terpilih ini melalui dua peringkat latihan iaitu tiga hari latihan di kolam renang dan tiga hari di Pulau Perhentian untuk mendapat lesen Open Water Level.
“Mereka perlu mengikuti beberapa lagi siri latihan dan lesen berkaitan sebelum boleh menjadi instruktor dan terbabit membantu mangsa lemas di air,” katanya ketika menyertai latihan Pengukuhan Peserta Penyelamat di Air Pegawai Wanita bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu di Pulau Perhentian hari ini.
Mohamad Shoki berkata, setakat ini terdapat 57 anggota PPDA seluruh negeri yang ditempatkan di empat balai bomba dan penyelamat iaitu Kuala Terengganu, Chukai, Kuala Berang dan Jerteh.
“Terengganu antara negeri yang mencatatkan kes kematian tertinggi disebabkan mati lemas dan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
“Rekod menunjukkan 22 mangsa lemas pada 2017 dan 35 mangsa dapat diselamatkan, jumlah mangsa lemas meningkat kepada 31 orang dan 40 dapat diselamatkan tahun lalu.
“Sementara empat bulan pertama tahun ini mencatatkan kematian lapan mangsa lemas, 11 orang dapat diselamatkan dan lima mangsa tercedera,” katanya.
Beliau berkata, langkah untuk memberi pendedahan kepada pegawai bomba wanita dalam aktiviti menyelamat di air akan dapat membantu pasukan apabila ada mangsa lemas wanita.
“Kita dalam usaha memperkasakan anggota dan pegawai untuk mengurangkan kes kematian mangsa lemas di air melalui pelbagai latihan yang dijalankan secara berterusan.
“Kejadian lemas yang sering berlaku ketika musim cuti sekolah berikutan kawasan rekreasi seperti pantai dan hutan lipur sering menjadi pilihan ibu bapa, pelajar sekolah untuk bercuti,” katanya.
Mohamad Shoki berkata, jumlah kematian lemas yang meningkat juga disebabkan asas keselamatan di air dalam kalangan masyarakat masih belum mencukupi.
Leave a Reply