KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim meluahkan kekecewaan terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas kerajaan membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dalam akaun Twitter miliknya, Siti turut menyatakan semakin hilang harapan dengan kepemimpinan kerajaan.
“Semakin putus harap dengan kepemimpinan PH. (Sebelum ini), Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan kini Statut Rom pula,” katanya hari ini.
Kerajaan akhirnya memutuskan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-raja.
Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku kerana mereka tidak memahami isi kandungan statut berkenaan sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply