Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tangan kanan Syafiq Haikal terpaksa dipotong

KUALA TERENGGANU – Sebahagian tangan kanan mangsa mercun, Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, terpaksa dipotong setelah kelima-lima jarinya putus sewaktu bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, mangsa telah menjalani pembedahan kira-kira jam 10 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurutnya, pembedahan kecemasan amputasi di pertengahan lengan bawah itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan mangsa.

“Keadaannya mangsa sekarang ini stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Mohd menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelajar itu mungkin terpaksa memakai tangan palsu selepas ini.

Sebelum itu, pelajar Tingkatan Satu dari Jertih, Besut berkenaan memasuki Dewan Bedah HSNZ kira-kira jam 9 pagi dan diusung keluar setelah selesai menjalani prosedur pembedahan kali pertama.

Ibunya, Zainab Mohd, 40, yang juga ibu tunggal ketika ditemui berkata, anaknya itu ada mengadu sakit sebelum menjadi pembedahan tersebut dan tidak dapat tidur sepanjang malam.

“Nak kata apa lagi, benda dah berlaku. Saya anggap ini ujian Ramadan dan reda walaupun sedih dengan apa yang berlaku pada dia,” katanya ketika ditemui media di HSNZ.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin turut membuat kunjungan bagi menzahirkan simpati kepada keluarga Shafiq Haikal di HSNZ, hari ini.

Jelas beliau, daripada apa yang dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh kepadanya, pihak hospital akan cuba memastikan pembedahan dijalankan masih membolehkan tangan Syafiq Haiqal digunakan.

“JPNT telah memberi peringatan kepada guru besar dan pengetua sekolah untuk mengingatkan murid dan pelajar supaya mengelak bermain mercun. Ini peringatan biasa setiap kali Ramadan, tetapi kejadian seperti ini masih berlaku.

“Kita ucapkan takziah atas kejadian malang ini dan percaya Syafiq Haiqal kuat untuk melalui apa yang berlaku.

“Dalam masa sama, saya harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar dapat menghulurkan bantuan untuk keluarga Syafiq Haiqal memandangkan ibunya seorang ibu tunggal,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén