HASRAT seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk berbuka berpuasa bersama keluarganya tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 415 Lebuhraya PLUS, dekat Lembah Beringin di Hulu Selangor, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, Ahmad Syahizi Rashid Minkahar, 21, dipercayai dalam perjalanan dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak untuk pulang ke rumah keluarganya di Melaka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan dan terjatuh di lorong kecemasan.
“Mangsa menunggang motosikal Yamaha 125Z dari arah utara menuju ke selatan dan sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas sendiri di bahu kiri jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Tanjung Malim untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply