Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Sumbang ke Tabung Darul Iman layak dapat pelepasan cukai

KUALA TERENGGANU – Syarikat atau individu yang menyumbang kepada Tabung Darul Iman layak mendapat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, pelepasan cukai diberikan berdasarkan jumlah sumbangan yang disalurkan.

“Kita tidak mengehadkan jumlah sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Darul Iman memandangkan ia di bawah kerajaan negeri (Setiausaha Kerajaan Negeri).

“Sumbangan boleh dilakukan dengan mengemukakan cek atas nama YB Setiausaha Kerajaan Terengganu dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak Sekretariat Tabung Darul Iman (STDI) di talian 09-6233535/6243535,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sumbangan tabung itu bergantung pada sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, penjawat awam negeri, wakil rakyat dan exco serta kutipan melalui program.

“Sumbangan penjawat awam, wakil rakyat dan exco kita dapat dalam RM25,000 sebulan. Tahun lalu kita dapat sebanyak RM1.2 juta sumbangan oleh GLC dan syarikat persendirian.

“Tahun ini sahaja, kita dapat sebanyak RM5 juta bagi caruman atau sumbangan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Hanafiah berkata, dari segi perbelanjaan, sebanyak RM800,000 hingga RM1 juta dibelanjakan bagi tempoh sebulan untuk menampung permintaan golongan yang tidak bernasib baik dan mereka yang memerlukan di negeri ini.

“Disebabkan jumlah perbelanjaan bulanan yang agak besar dibelanjakan, kita mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk dikumpulkan bagi memberikan manfaat kepada mereka yang memerlukan menerusi tabung ini,” katanya.

Tabung Darul Iman adalah gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik dan efisien.

Tabung ini menyediakan bantuan bagi musibah seperti ribut, taufan, kebakaran, puting beliung, serangan haiwan liar (ternakan atau tanaman) dan serangan penyakit (ternakan dan tanaman).

Selain itu, tabung ini juga menyediakan bantuan perubatan bagi pembedahan yang memerlukan implan, peralatan perubatan, pembelian ubat-ubatan yang tiada dalam senarai Kementerian Kesihatan.

Selain itu, jenis bantuan bukan perubatan pula melibatkan bantuan sara diri tahunan dan bantuan lampin pakai buang dan susu.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén