Peguam dan aktivis Pakatan Harapan (PH), mendakwa sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan didalam institusi demokrasi negara berikutan kewujudan monarki dianggap ketinggalan zaman dikebanyakan negara di dunia.

Fadiah Nadwa Fikri berkata demikian mengulas sekeping gambar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkok sambil mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dikala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hubungan tegang dengan institusi diraja.

“Memandangkan wujudnya hubungan tegang antara perdana menteri sekarang dengan monarki, tidak menghairankan mengapa yang dikatakan bakal perdana menteri melakukan sedemikian.

“Apa yang meresahkan tentang perlakuan yang diabadikan gambar itu adalah budaya feudal yang tidak boleh dipertahankan dan implikasi besar yang disampainya,” katanya dipetik kolum portal Malaysia Muda bertajuk ‘Jangan Engkau Cium Tangan Yang Memukulmu’.

Katanya, walaupun sistem Raja Berpelembagaan dihujahkan sekadar “perhiasaan perlembagaan yang neutral”, ianya tidak lagi boleh diterima, dipertahan dan diwajarkan berikutan realitinya adalah sebaliknya.

Hujah Fadiah, ia ditunjukkan ketika pra-PRU14 lalu apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah untuk tidak menjatuhkan kerajaan pada ketika itu yang bertentangan dengan apa yang dimahukan rakyat.

“Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu permikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani.”

Ujarnya, dikala rakyat sudah bangkit merampas kuasa daripada parti memerintah negara selama 61 tahun, sistem monarki yang disamakan Fadiah dengan konsep perhambaan ini tidak lagi boleh diteruskan.

Tegasnya, golongan diraja diberikan layanan dan dipuja persis tuhan sedangkan darahnya sama merah sepertmana darah rakyat yang diarahkan untuk patuh.

“Mengapa golongan yang darahnya merah, semerah darah mereka yang dipaksakan kepatuhan kepada golongan itu mempunyai hak keistimewaan tersendiri?

“Mengapa golongan yang memerah hasil keringat mereka yang bersusah payah berjuang untuk terus hidup dan mencari kehidupan yang manusiawi perlu diberikan layanan dan pemujaan persis tuhan?

“Mengapa golongan yang dikurniakan secara mutlak mengikut budi bicara sendirinya kuasa besar dan kekayaan yang dirampas daripada mereka yang diperhambakan, kebal daripada kepertanggunjawaban?” soalnya.

Fadiah merupakan peguam hak asasi manusia juga merupakan pelopor gerakan Malaysia Muda.

– mD

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here