KEMELUT yang melanda syarikat pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia, Huawei ternyata mengundang keresahan para penggunanya.

Namun, cara Huawei berdepan tekanan demi tekanan daripada konglomerat dunia memberi harapan betapa gergasi China nampaknya sudah bersedia.

Terbaru, berdasarkan laporan Digital Phablet, sistem operasi Huawei yang baru bakal mengatasi kelajuan Android sebanyak 60 kali ganda.

Huawei telah menjalankan kajian dan pembangunan ke atas sistem operasi sendiri yang dinamakan Hongmeng sejak tujuh tahun lalu.

Difahamkan, kini pembangunan sistem operasi tersebut telahpun berada pada fasa akhir dan bakal dilancarkan selewat-lewatnya tahun hadapan.

Walaupun belum ada indikasi jelas mengenai sistem operasi Huawei, namun berdasarkan jumlah persidangan yang dilaksanakan syarikat itu akhir-akhir ini, ia dijangka mampu ‘menggoncang’ penguasaan Android pada masa hadapan.

Sementara itu, Google telah memberi kelonggaran kepada pengguna Huawei untuk mengemaskini perisian Android di dalam peranti mereka sehingga 19 Ogos 2019.

Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Huawei berkata, sistem tersebut bakal mampu menjalankan aplikasi Android melalui kerjasamanya dengan Apptoide, alternatif bagi Google Play.

Bahkan, ura-ura mengatakan sistem ini juga mempunyai kemampuan untuk menjalankan aplikasi iOS.

Walaubagaimanapun secara keseluruhannya, para pemerhati teknologi masih tidak dapat memastikan samada prestasi Hongmeng bakal lebih baik daripada Android kerana masih banyak maklumat tentangnya yang belum didedahkan kepada umum. Namun mereka percaya sistem baru ini bakal menjadi saingan yang hebat kepada Android.

Sumber: TheMalaysianPost

Loading...