Bukan sekadar blog

Politik

Satu dunia tahu ini rampasan kuasa, kata Anwar

KUALA LUMPUR – Sama ada mengikut prosedur atau pun menerusi undi, krisis politik yang melanda negara sehingga membawa kepada pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri disifatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rampasan kuasa.

Beliau berkata bukan sahaja rakyat Malaysia mengetahui gerakan ini malah seluruh dunia yang menyaksikannya mampu menterjemahkan apa yang telah berlaku sejak minggu lalu.

“Orang yang berfikir bukan hanya di sini, seluruh dunia dia tahu ini (pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baru) satu rampasan (kuasa) sama ada ikut prosedur, sama ada ikut undi ia rampasan,” katanya ketika Majlis Zikir Selawat Nuril di kediamannya.

Beliau juga mengakui proses peralihan kuasa yang sepatutnya berjalan lancar untuknya gagal akibat pengkhianat yang dilihat lebih mengejar kuasa dan wang berbanding prinsip dan janji.

“Kita mulai lentur hadapi kesukaran bila kita terpukau dengan kilauan kuasa dan harta, ini cabaran besar kita.

“Semalam kamu setuju kemudian hari ini kamu tukar sebab apa? Ugutan, wang?”soal beliau.

Namun Anwar berkata beliau tetap tenang menghadapi perubahan drastik ini dan menganggapnya sebagai ujian.

Beliau menutup ucapan majlis yang berlangsung di kediamannya dengan memberi peringatan bahawa umat Islam yang beriman perlu berpegang dengan janji.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berharap agar penyokongnya bertenang.

“Ramai orang kata Anwar pura-pura senyum. Saya tidur lena, makan lalu.

“Ingat kita orang beriman kena pegang pada janji, faham, faham, tidak faham sudah,” katanya lagi.

Muhyiddin hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Yang diPertuan Agong membuat ketetapan Presiden Pribumi Bersatu (Bersatu) itu memiliki sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Loading...

1 Comment

  1. Vanugopal

    Lah bukan perkara biasa.

Leave a Reply