Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Rojak Sultan’ tersohor di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Bagi masyarakat sekitar Kuala Terengganu, ‘Rojak Sultan’ memang cukup dikenali dengan keenakannya sejak dahulu lagi.

Diusahakan oleh Nuna Sultan Mohd Veerasah pada tahun 1972 dengan menolak basikal roda tiga di sekitar Pasar Besar Kedai Payang dan Jalan Pejabat, perniagaannya kini diwarisi oleh anak-anaknya.

Nor Azizah, 48, meneruskan perniagaan bapanya dengan menggunakan jenama ‘Azizah Sultan’ dengan berniaga di Chendering manakala adiknya, Jamilah, 46, meneruskan jenama ‘Rojak Sultan’ dan berniaga di Kedai Kuih Che Tar di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Nor Azizah yang memulakan perniagaan sejak tahun 1995 berkata, sempena Ramadan kali ini, dia mengambil keputusan untuk berniaga di Bazar Ramadan Batu Burok sebagaimana yang telah dimulakannya sejak 10 tahun dulu.

“Permintaan setiap kali Ramadan memang meningkat, sebab itu saya memutuskan untuk berniaga di bazar Ramadan supaya lebih ramai orang berpeluang untuk merasai rojak ayam istimewa ini.

“Setiap hari, saya jual 120 bungkus rojak ayam. Kebiasaannya hari-hari biasa saya hanya berniaga nasi dan rojak ayam, tapi istimewa setiap kali Ramadan, saya turut menjual nasi beriani, nasi pattaya, nasi ayam penyet sambal berapi dan tauhu bergedil ayam,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Batu Burok.

Jelasnya, sambutan yang diterima cukup menggalakkan, malah dia bersama suami, anak dan tiga pekerjanya tidak menang tangan melayani pelanggan yang datang ke gerainya.

“Kalau hujan, jualannya agak kurang, biasalah adat berniaga. Namun, saya bersyukur kerana dengan resipi ayah, kami adik-beradik dapat meneruskan legasi perniagaannya dengan jenama masing-masing,” katanya.

Loading...

Leave a Reply