PUTRAJAYA – Rakyat dinasihatkan perlu mengubah sikap dengan lebih bertanggungjawab terhadap tugas, ikhlas dan berpegang kepada amalan baik termasuk bebas rasuah kerana ia akan merencatkan pembangunan negara.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menasihatkan supaya rakyat dan penjawat awam tidak membenci dan iri hati terhadap golongan kaya.
“Perasaan ini (iri hati) perlu dipendam supaya tidak mempengaruhi diri kita kerana golongan kaya ini diperlukan untuk membayar cukai yang tinggi malah ada yang membayar cukai sehingga ratusan juta ringgit,”
“Kalau semua penduduk miskin belaka dari mana kita akan mendapat dana untuk membayar gaji kita dan memajukan negara?,”
“Ada tempat untuk golongan miskin dan ada tempat untuk golongan kaya tetapi si kaya perlulah berusaha membantu si miskin,”
“(Bantuan) bukan sahaja dari segi tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi juga dengan membayar cukai sepenuhnya,”
“Kita bukan mahu mendera sesiapa tetapi cukai diperlukan untuk mentadbir dan memajukan negara,” katanya.
Mahathir juga berkata, pemberian subsidi tidak mampu mengurangkan kemiskinan rakyat,”
“Ini kerana kemiskinan berlaku kerana mereka kurang produktif,” jelasnya.
“Kedua-dua pihak (kerajaan dan penjawat awam) perlu fokus kepada memberi penjelasan kepada rakyat yang kemiskinan tidak boleh diatasi dengan subsidi dan bantuan sebaliknya melalui produktiviti,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. – 6 Januari 2020
Leave a Reply