Bukan sekadar blog

Berita Utama

Rahmatan Lil Alamin pencapaian paling cemerlang – Mujahid

PUTRAJAYA – Dasar Rahmatan Lil Alamin yang diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu, antara pencapaian paling signifikan Jabatan Perdana Menteri (Agama) diketuai Menterinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, sepanjang tahun ini.

Pelaksanaan sepenuhnya dasar itu dalam pentadbiran kerajaan dijangka dapat dilakukan tahun depan.

Mujahid ketika membentangkan Kad Laporan portfolio beliau, berkata ia bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan Pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah Dalam Pentadbiran Negara, 4 Julai lalu.

“Bagi saya, keputusan kerajaan menerima Dasar Rahmatan Lil Alamin adalah paling signifikan kerana kita berjaya bawa dasar baharu Islam termasuk bajet RM10 juta untuk penerangan kepada rakyat berhubung dasar ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pencapaian lain portfolio Mujahid dibahagikan mengikut tujuh kluster dengan yang pertama ialah Kehakiman dan Perundangan, antara lain kejayaan mewujudkan Mahkamah Syariah Hadhanah dan Nafkah, yang mana proses penyelesaian kes lebih cepat daripada 14 kepada enam bulan.

Di bawah kluster ini, Rang Undang-Undang Guaman Syarie diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 15 Julai dan 31 Julai.

Bagi kluster Dakwah dan Media, pelbagai pencapaian dicatat, antaranya menganjur Karnival Rahmah 2019 bagi merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin, selain Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019.

Loading...

“Kita juga melantik lebih 200 Duta Rahmah, manakala TV Alhijrah memenangi BrandLaureate World Halal Prominent Brand Awards dan Asia Halal Brand Awards, selain mewujud saluran YouTube bagi menyokong aspirasi kerajaan membawa gagasan Rahmah,” katanya.

Antara pencapaian bagi Kluster Pendidikan dan Modal Insan ialah memperuntukkan RM75 juta kepada sekolah pondok berdaftar dan institusi tahfiz, serta RM2.6 juta untuk Tabung Kebajikan Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Di bawah kluster Sosio-Ekonomi, antara pencapaian ialah menyerahkan RM33.2 juta bantuan zakat khas kepada 54,331 asnaf di Wilayah Persekutuan, mewujudkan usahawan asnaf atau asnafperneur serta program Foodbank di masjid dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi kluster Pengurusan Haji dan Pensijilan Halal, tentunya memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji yang semakin kukuh dengan jumlah aset lebih RM2.3 bilion, berbanding defisit RM10 bilion ketika kami mula mengambil alih kerajaan,” katanya.

Pencapaian di bawah kluster Pengurusan Masjid ialah melaksanakan program Rakan Masjid Hospital serta mengadakan program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan 2019.

Bagi kluster Maqasid dan Penyelidikan, antara kejayaan ialah pembinaan Fiqh Ta’amul sebagai Kerangka Hubungan Antara Penganut Agama di Malaysia.

Loading...

Leave a Reply