PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM42 juta bagi bantuan musim tengkujuh kepada lebih 70,000 pekebun kecil getah di Sabah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata peruntukan tambahan itu disediakan selepas kementeriannya meluluskan rayuan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) supaya takrifan pekebun kecil di Sabah harus merangkumi pengusaha getah dengan keluasan kebun enam hektar dan ke bawah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini menyediakan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan untuk tiga bulan iaitu pada November dan Disember 2018 serta Januari 2019 kepada pekebun kecil getah di seluruh negara.
“Ia disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membabitkan peruntukan sebanyak RM165 juta kepada hampir 275,000 pekebun kecil, iaitu pengusaha getah dengan keluasan kebun 2.5 hektar dan ke bawah.
“Jumlah penerima berkenaan termasuk 6,000 pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA di Sabah.
“Bagaimanapun, pihak LIGS membuat rayuan bahawa takrifan pekebun kecil di Sabah seharusnya merangkumi pengusaha getah dengan keluasan kebun enam hektar dan ke bawah yang membabitkan lebih 70,000 pekebun getah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Guan Eng berkata, kerajaan Sabah akan menyelaras bantuan RM600 itu kepada setiap pekebun kecil getah yang terbabit.
“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu pekebun kecil Sabah yang sekarang berdepan dengan harga getah yang rendah,” katanya.
Leave a Reply