Bukan sekadar blog

Politik

PRK Rantau: PH sedia terima kekalahan jika hibah rendah dijadikan punca

ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) sedia menerima sekiranya isu pengumuman kadar agihan hibah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang rendah bakal menjadi punca kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang penting adalah tumpuan kerajaan menyelamatkan Tabung Haji yang mengalami kerosakan teruk disebabkan pengurusan oleh kerajaan terdahulu.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular itu biarpun sedar akan menggugat kempen PH dalam PRK Rantau.

“Kadar agihan hibah rendah yang diumumkan semalam adalah kadar yang mengikut kemampuan Tabung Haji dalam memberi ‘hadiah’ kepada pendepositnya secara jujur.

“Kerajaan PH bersedia untuk menerima segala kritikan termasuklah sekiranya ia menjadi punca kekalahan pada PRK DUN Rantau nanti.

Kita perlu akui, ini saja kemampuan untuk memberi hibah, sekarang kerajaan dalam proses menyelamatkan Tabung Haji disebabkan kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kelemahan kerajaan dahulu.

Loading...

“Kalau difikirkan populariti, memang kita sekarang ambil keputusan yang tidak popular, tambahan pula di saat kita akan hadapi PRK DUN Rantau. Kita perlu terima dan yang penting sekarang ialah tumpuan kita untuk selamatkan Tabung Haji,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan bencana mangsa ribut di Kampung Padang Kunyit di sini, hari ini.

Semalam, Tabung Haji mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit.

Kadar hibah itu merupakan agihan terendah dalam sejarah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata, kerajaan PH telah mewarisi Tabung Haji daripada kerajaan sebelum ini dalam suasana yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.

Tambah Mahfuz, Tabung Haji sepatutnya dapat diselamatkan daripada sejak dahulu seperti tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual saham-saham miliknya dalam FGV Holdings Bhd.

“Kenapa kerajaan dulu tak selamatkan Tabung Haji, mereka memang tidak akan mengaku, tetapi mereka bersalah kerana tidak menyelamatkan Tabung Haji daripada terus mengalami kerugian besar berikutan ada kepentingan peribadi.

“Kerajaan sekarang menanggung musibah seperti yang ditanggung rakyat. Jadi, sekarang kita perlu ambil tindakan dan cari jalan penyelesaian termasuk beritahu rakyat kenapa hibah yang diagihkan sangat rendah. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply