Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

PRK Rantau: Dr Streram tak layan provokasi

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, kecewa dengan pihak tertentu yang didakwa sengaja membuat provokasi melampau terhadap dirinya demi meraih sokongan politik.

Menyifatkan tindakan itu keterlaluan, beliau berkata cara sedemikian menunjukkan mereka amat terdesak dan tidak menjejaskan fokusnya untuk terus mendampingi pengundi dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Reaksi Dr Streram itu merujuk kepada satu kain rentang yang dipasang di sekitar Rantau dan memaparkan mesej agak berbaur perkauman supaya tidak mengundi pakar bius itu.

“Ini jelas cara yang tidak baik dan tidak adil kepada saya. Saya sudah nasihatkan beberapa kali supaya kita berkempen secara berhemah tanpa provokasi.

“Namun sekarang hari-hari saya dapat provokasi walaupun kita tidak buat apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika berkempen bertemu pengundi di Kampung Nyatoh di sini, hari ini.

Beliau berkata, PH turut membuat laporan berhubung pemasangan kain rentang itu di Balai Polis Rantau, di sini.

Dr Streram berkata, fokusnya hanya terhadap kempen walaupun ada cubaan mengalihkan perhatiannya dengan isu lain.

“Saya mahu pengundi memberi peluang kepada saya mewakili mereka,” katanya sambil menegaskan PH tidak akan menggunakan kaedah kempen seperti itu.

Jadualnya padat hari ini dengan aktiviti kempen bermula seawal jam 8 pagi dengan kunjungan pertamanya di sebuah gerai makan di Kuala Sawah.

Semalam, Dr Streram turut menerima provokasi berhubung program pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, yang didakwa lawan sebagai mengeksploitasi golongan itu untuk tujuan politik.

Memasuki hari kelapan berkempen hari ini, ‘mood’ PRK masih mendatar dengan peningkatan dijangka bermula minggu depan apabila lebih ramai pemimpin utama PH dan Barisan Nasional (BN) berkampung di sini.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén