Bukan sekadar blog

Politik

PRK Kimanis: Populariti Najib tak mampu menangkan Umno, kata Kit Siang

POPULARITI Najib Razak di Kimanis tidak bermakna Umno Sabah akan menang dalam pilihan raya kecil (PRK) di kawasan parlimen itu 18 Januari ini, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Menurut Lim, bekas perdana menteri itu juga menerima sambutan yang menggalakkan semasa PRK Sandakan pada Mei 2019 tetapi kerusi itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti lebih besar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedatangan Najib yang disambut mesra penduduk Kimanis sejak semalam. Ahli Parlimen Pekan berada di sana sebagai sokongan kepada Umno Sabah.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mencalonkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Karim Bujang, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian Umno Kimanis Mohamad Alamin.

Warisan, parti yang mentadbir Sabah, merupakan sekutu PH.

“Bekas perdana menteri Najib Razak disambut mesra semasa melawat Membakut di Kimanis semalam.

“(Tetapi) Najib juga disambut mesra semasa PRK Sandakan, tetaoi calon Pakatan-Warisan Vivian Wong menang dengan majoriti lebih besar berbanding semasa pilihan raya umum,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Loading...

Sambil menyeru pengundi Kimanis memberi Warisan satu lagi kemenangan besar di Sabah, Lim juga berkata kemenangan pada PRK ini akan mencerminkan pendirian rakyat yang menentang rasuah dan salah guna kuasa yang diamalkan kerajaan terdahulu.

Tambah ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, PRK Kimanis penting kerana ia akan menjadi medan bagi pengundi menyuarakan sokongan terhadap usaha membanteras rasuah yang dilaksanakan kerajaan PH untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan Kemenangan Anifah tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 Anifah memperoleh 11,942 undi dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Karim memperoleh 11,786 undi manakala Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi. – 4 Januari, 2020.

Loading...

Leave a Reply