Bukan sekadar blog

Berita Utama

Polis Terengganu tempatkan anggota di drawbridge

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan menempatkan anggotanya di jambatan angkat atau drawbridge sepanjang tempoh laluan itu dibuka pada musim perayaan ini, bagi mengelakkan kesesakan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, penempatan itu dibuat susulan pembukaan laluan drawbridge untuk tempoh percubaan, bermula 2 hingga 17 Jun ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi mengelakkan kesesakan kerana jambatan ikonik yang pertama di Asia Tenggara itu dijangka menjadi tumpuan dan tarikan kepada orang ramai.

“Kami akan meletakkan kawalan trafik di kedua-dua hala dan bahagian tertentu jambatan supaya dapat melancarkan pergerakan dan memastikan tidak ada kenderaan yang berhenti dan cuba berhenti untuk bergambar dan sebagainya.

“Tindakan itu hanya akan mengundang kesesakan dan membahayakan nyawa para pengguna lain,” katanya ketika ditemui pada Program Singgah Sahur Polis Terengganu bertempat di Pondok Polis Pelancong Batu Burok, awal pagi tadi.

Program itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, pembukaan selama 16 hari itu bagi memberi peluang kepada orang ramai memanfaatkan kemudahan itu pada perayaan Aidilfitri nanti.

Jelasnya, laluan jambatan yang menyediakan empat lorong itu akan ditutup semula selepas itu untuk tempoh tertentu sebelum operasinya dibuka sepenuhnya.

Jambatan angkat yang merupakan antara komponen Kuala Terengganu City Centre (KTCC) itu bakal menjadi salah satu mercu tanda baharu Terengganu, selain menjadi produk pelancongan terbaru negeri ini.

Ia menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Loading...

Leave a Reply