Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Sukan

Piala FA: Pahang bangkit kalahkan Terengganu 4-0

KUANTAN: Skuad Pahang melakukan kebangkitan dan mengisi slot separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kekalahan 1-2 pada suku akhir pertama piala berprestij itu di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu, tidak memadam misi skuad Tok Gajah untuk mencatat keputusan 5-2 menerusi agregat.

Kesungguhan tuan rumah dapat dilihat apabila menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ketujuh hasil sentuhan pemain tengah, Mohd Faisal Halim.

Jaringan itu ternyata memberi motivasi buat skuad kendalian Dollah Salleh yang menggandakan asakan ke kubu TFC dan peluang terbaik hadir daripada rembatan Mohamadou Sumareh tetapi bola berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mohd Sufian Ab Rahman pada minit ke-39.

Empat minit kemudian, Faisal hampir menambah jaringan kedua peribadi tetapi bola rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol lawan.

Bagi TFC pula, peluang pasukan itu untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan Tchetche Kipre yang tersasar dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, penyerang import, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan Mohd Sufian pada minit ke-46.

Pada minit ke-63, Nwakaeme sekali lagi menambah kekecewaan skuad Penyu apabila menjaringkan gol ketiga disusuli jaringan Sumareh pada minit ke-74.

Buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, kekalahan itu memberi pengajaran selepas mereka mencatat kemenangan 2-1 pada suku akhir pertama.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén