Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

PH perlukan enam bulan lagi untuk pulih negara – Daim

KUALA TERENGGANU – Rakyat diminta memberi peluang enam bulan lagi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat kerja termasuk menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, tempoh enam bulan itu disifatkan ideal untuk PH membuktikan keupayaan mereka mentadbir negara di samping menyelesaikan segala isu-isu yang menyebabkan momentum sokongan rakyat semakin hilang.

“Beri mereka (kerajaan PH) enam bulan lagi, saya bukan kerajaan, saya bagi penerangan mewakili rakyat.

“Terangkan kepada rakyat. Bukan susah kalau tidak boleh buat cakap tidak boleh. Beritahu kepada rakyat apa sebab tidak boleh buat. Mesti ada sebab tak kan kalau boleh buat, tak nak buat… itu yang penting,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kekalahan calon PH, Dr. S. Streram dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Beliau berkata demikian selepas program Bicara Darul Iman di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan exco Kerajaan negeri.

Menurut Daim, kekalahan berturut-turut kerajaan PH dalam tiga kerusi PRK termasuk di Rantau merupakan keputusan rakyat dan kalangan pemimpin PH perlu menerima keputusan yang telah dibuat itu.

“Rakyat selalu tidak sabar dan mahu cepat tetapi kerajaan banyak keutamaan, ketika ambil alih kita nak tahu kedudukan ekonomi dan kewangan yang memerlukan masa.

“Kerajaan kena fokus bukan sahaja kepada soal ekonomi bahkan, keselamatan, hubungan antarabangsa, pertahanan dan lain-lain lagi. Esok kalau berlaku apa-apa marah kerajaan, jadi memang sekarang keutamaan adalah ekonomi. Insya-Allah saya ingat dalam enam bulan lagi, perkara-perkara ini akan stabil,” katanya.

Bagaimanapun, Daim tidak menolak kemungkinan persepsi rakyat terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada boleh berubah sekiranya janji-janji manifesto ditunaikan dan jika keadaan sebaliknya, rakyat masih berpeluang untuk menukar pemerintahan kerana itu merupakan hak mereka (rakyat). – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén