SEREMBAN: Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan seluruh anggota parti agar tidak lupa bahawa perjuangan PKR adalah kerana perjuangan rakyat.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) merangkap Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau mahu perjuangan PKR sebelum ini, diteruskan kerana parti berkenaan tertubuh hasil perjuangan daripada titik peluh rakyat.
“Semua perjuangan kita adalah perjuangan rakyat bersama,” katanya dalam ucapan sempena sambutan 20 tahun Keadilan di sini, malam ini.
Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Syed Husin Ali; Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, Ketua Sekretariat PH yang juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Veteran DAP Lim Kit Siang; Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.
Berucap di hadapan ribuan hadirin, Dr Wan Azizah turut menarik perhatian dengan mengimbau sejarah perit jerih yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.
“Apa saya ingat satu yang menjadi sejarah kepada perjuangan ini ialah deklarasi Permatang Pauh yang mana ada satu insiden di mana saya didatangi seorang mak cik dan memberi saya 50 sen hasil titik peluh mak cik itu untuk perjuangan ini.
“Saya kata tak perlu… inilah saya rasa perjuangan ini perjuangan titik peluh, perjuangan rakyat kita teruskan. Mengenai mak cik itu, saya sampaikan untuk kita sama-sama mengingatinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berdoa agar perjuangan PKR itu akan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Leave a Reply