Bukan sekadar blog

Politik

PERANGAI ABANG BESAR DALAM PAS MEROSAKKAN?

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membidas tindakan seorang pemimpin Pas mencabar Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali supaya membuat kenyataan beliau digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat disebabkan pendiriannya berhubung Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, Mohd. Khairuddin yang sepatutnya membuat cabaran itu kerana Ahli Parlimen Kuala Nerus tersebut yang sepatutnya berasa tercabar atau marah digugurkan dengan alasan disiplin yang masih belum diketahui secara rasmi.

“Apabila seorang orang besar parti mencabar beliau agar menyatakan alasan pengguguran, maka ia adalah buruk dan teruk. Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini memaklumkan, Mohd. Khairuddin diigugurkan daripada AJK Pas Pusat bukan disebabkan isu MN dan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd. Khairuddin yang juga untuk menyatakan bahawa isu MN dan PN adalah punca pemecatan tersebut jika ada keberanian.

Mohd Khairuddin beberapa hari lalu membayangkan penggugurannya sebagai AJK Pas Pusat berkaitan dengan desakannya mahukan parti itu mengutamakan kerjasama dengan UMNO menerusi MN.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh berkata, Mohd. Khairuddin seorang pemimpin Pas yang amat kuat menyokong usaha-usaha bagi memulihkan hubungan Pas dan UMNO dalam MN yang semakin suram.

Justeru, katanya, jika benar tindakan dikenakan terhadap Mohd. Khairuddin disebabkan masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada umum kerana beliau merupakan bekas menteri daripada Pas dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Ujar beliau, penjelasan rasmi secara telus boleh membina persepsi yang baik kepada Pas kerana Pas sedang memerintah negara.

“Buah gugur bila sudah cukup masak atau ditiup angin kuat. Buah juga boleh gugur kerana dipotong atau dibedal dengan galah oleh budak-budak. Gugur mesti bersebab. Saya adalah sahabat rapat Mohd. Khairuddin,” katanya. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply