Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Penyokong PH tahan kereta polis macam samseng, kata SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengecam tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menahan dan memeriksa kereta peronda polis di Rantau semalam.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun, tindakan gengster seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana merupakan perbuatan menakut-nakutkan anggota polis.

“Ini satu perkara yang amat serius dan tidak patut berlaku. Cuba menakutkan polis dengan budaya samseng. Saya amat terkejut apabila mereka melakukan tindakan menakut-nakutkan polis dan SPR.

“Saya nak kata pada semua pemimpin parti selepas ini mengawal pengundi mereka tidak bertindak begitu. Tindakan tersebut amat teruk seolah-olah tiada demokrasi dalam pilihan raya bebas dan adil.

“Melihat polis dan SPR diserang begitu ia sangat teruk dan perlu dihentikan. Kita tidak boleh (biarkan) insiden sama berulang, tidak boleh berlaku di bawah pengawasan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengulas lanjut, Azhar berkata SPR akan berunding dengan pakar perundangan esok untuk mengenalpasti tindakan yang boleh diambil berhubung perkara itu.

“Esok kita ada duduk semeja dengan ahli bersama pakar perundangan untuk lihat apa tindakan yang boleh kita ambil,” katanya lagi.

Beliau mengakui ia merupakan insiden pertama seumpamanya yang berlaku dalam pilihan raya kecil sejak beliau mengetuai SPR.

Beliau turut mengingatkan pemimpin parti politik supaya menasihati ahli agar tidak melakukan tindakan yang disifatkannya sebagai satu cubaan mengugut dan menakutkan pegawai polis.

Dalam kejadian itu, lima lelaki didakwa menahan dan memeriksa kereta peronda polis pada jam 6 petang semalam, selepas tamat tempoh pengundian PRK Rantau.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di hadapan pusat pengudian di SJK(C) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Aksi individu berkenaan dirakam dalam dua klip video yang tular di Internet dan polis dilaporkan sedang memburu suspek terlibat.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop dilaporkan berkata, dua anggotanya berpangkat sarjan dan koperal itu bertugas mengawal lalu lintas dan mengiringi kertas undi.

Jelas beliau semasa berada di tempat kejadian kenderaan MPV polis itu didatangi lima lelaki yang meminta anggota membuka but kereta kerana disyaki membawa kertas lebihan undi.

“Anggota polis terlibat bersetuju untuk membuka bonet kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan dan dalam keadaan terpaksa telah membuka bonet bagi memuaskan hati mereka,” katayna seperti dilaporkan Kosmo.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén