Bukan sekadar blog

Jenayah

Lelaki bakar kereta Mufti Perlis didakwa, empat lagi dibebaskan

KANGAR – Seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah membakar kereta jenis Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri di Jalan Persiaran Wawasan di sini, kira-kira pukul 5 pagi, 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes melibatkan kepentingan awam.

“Kes ini membabitkan kereta milik kerajaan negeri dan sekiranya tertuduh dilepaskan, dibimbangi kejadian sama akan berulang.

Selain itu, kes ini juga telah tular di media sosial dan saya kira ia juga melibatkan soal keselamatan tertuduh,” katanya.

Loading...

Dalam pada itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najdah Romli yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan ditawarkan kerana lelaki berkenaan menanggung dua orang anak berusia sembilan dan 11 tahun serta kakak yang mengalami strok.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain memberikan syarat kepada tertuduh supaya melapor diri kepada pegawai penyiasat pada setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa, ahli keluarga dan kenalan rapatnya.

Jaminan yang diberikan dikira terbatal sekiranya tertuduh melanggar syarat tersebut. Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Julai depan.

Sementara itu, empat lagi suspek dalam kes bakar kereta Mohd. Asri dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.

Berikutan itu, bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam tersebut terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, tayar hadapan sebelah kiri kenderaan tersebut manakala cermin belakang dan depan turut pecah.- UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply