KAJANG – Pendakwah yang juga pengasas dan Presiden Tirmidhi Centre, Adlan Abd Aziz, yang terkenal dengan usaha gigih menghidupkan pengajian hadis termasuk mengadakan kelas dalam talian, meninggal dunia jam 3.50 pagi tadi.
Adlan meninggal dunia di Hospital Kajang disebabkan sakit jantung, manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Zuhur ini.
Sementara itu, pendakwah dan sahabat karib beliau, Syed Shahridzan Syed Mohamed, berkata kecintaan terhadap ilmu menjadikan Adlan sebagai rujukan banyak pihak khususnya dalam bidang ilmu hadis.
Syed Shahridzan yang juga Setiausaha Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) berkata, Allahyarham sebelum ini menuntut ilmu dengan ulama khususnya dari Asia Barat.
“Beliau terlalu mengambil berat mengenai ilmu dan suka membaca. Seorang sahabat yang sangat baik, mengambil berat mengenai rakan-rakan baik yang susah dan senang.
“Pastinya pemergian beliau kehilangan besar buat kami dan bidang ilmu khususnya ilmu hadis kerana banyak jasanya untuk menghidupkan pengajian hadis,” katanya.
Mengenang pertemuan pertama dengan Adlan, dalam nada tersekat dan esakan yang dapat didengar, Syed Shahridzan berkata, perkenalan mereka bermula ketika sama-sama mendaftar untuk pengajian ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM) pada 2005.
Sejak itu, mereka bersahabat baik sehingga kini dan bersama mengasaskan pusat ilmu Tirmidhi Centre, iaitu organisasi pengajian Islam yang mempromosi kepentingan pembelajaran ilmu Islam secara sistematik.
“Allahyarham paling bersemangat mengasaskan pusat ilmu Tirmidhi Centre ini untuk memelihara tradisi ilmu Islam.
“Semangat beliau akan terus subur dan kami akan meneruskan legasi yang diasaskan supaya menjadi amal jariah beliau untuk Islam,” katanya.
Adlan yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur, ialah lulusan ijazah bidang pengajian Bahasa Arab Universiti Al al-Bayt, Jordan.
Beliau mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad daripada muhaddis Jordan terkemuka, Syeikh Syuaib al-Arnaout.
Beliau pernah muncul dalam program Tanyalah Ustaz di TV9 dan menjadi panelis di IKIM untuk kuliah hadis mingguan yang membahaskan kitab Mukhtasar Riyadhus Solihin.
Sementara itu, Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Muhammad Ayman Al-Akiti, berkata Adlan bercadang untuk menyambung pengajian di universitinya untuk sesi pengajian Februari nanti.
“Saya beritahu dengan ilmu dan kemahiran bahasa Arab yang kemas, rugi rasanya jika beliau tidak menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi. Nampaknya beliau belum sempat mendaftar untuk itu,” katanya.
Sebagai pencinta ilmu, Ayman berkata, Allahyarham meninggalkan segudang khazanah dan jasanya besar mengajak serta mendorong umat Islam untuk mencintai hadis dengan berpegang teguh kepada manhaj jelas.
“Allahyarham mengajar bagaimana menilai hadis kerana tidak semua hadis daif terus ditolak, bilakah hadis boleh dipakai untuk beramal. Beliau juga giat menghidupkan ilmu talaqi secara dalam talian.
“Pengikut ASWJ di Malaysia banyak bertalaqi terus daripada guru. Ramai yang segan silu untuk mengajar secara dalam talian tetapi beliau membawa pendekatan itu supaya dapat dimanfaat oleh masyarakat,” katanya.
Sering bersama dalam program ISLAMI yang Adlan menjawat Timbalan Pengerusi ISLAMI Kebangsaan, Ayman menggambarkan beliau sebagai insan yang merendah diri, tetapi memiliki prinsip tegas.
Menurutnya, jika sesuatu itu salah, Allahyarham akan menyatakannya tidak kira kepada kawan atau lawan dan jika betul, beliau akan mengakuinya biarpun datang daripada pihak lawan.
Ayman yang turut menjadi tenaga pengajar ilmu tasawuf di Tirmidhi Centre berkata, daripada sudut dakwah Adlan menentang penggunaan Islam sebagai cap mohor untuk produk atau perkhidmatan.
“Allahyarham mahukan kita sebarkan ilmu untuk ilmu, bukan kepentingan diri atau ekonomi. Jadi, beliau tidak gemar istilah sunnah untuk produk.
“Jika bicara mengenai sesuatu kelebihan atau mengenai bidang seperti perubatan, perlu bersandarkan kepada ilmu, tahu dasar dan sumbernya. Bukan sekadar dakwaan sahaja,” katanya.
Leave a Reply