Bukan sekadar blog

Berita Utama

Pemulangan aset 1MDB akan digunakan untuk bayar hutang – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Dana daripada pemulangan aset 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) akan digunakan untuk membayar semula hutang sebanyak RM51 bilion termasuk faedah berjumlah RM10.8 bilion dan pinjaman yang telah diberikan oleh Kementerian Kewangan bagi membayar dahulu hutang-hutang syarikat itu yang ketika ini berjumlah RM8.6 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana itu juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan untuk mendapatkan semula serta melupuskan aset-aset syarikat kontroversi itu di seluruh dunia.

Beliau turut menyifatkan pemulangan aset bernilai AS$322 juta (RM1.3 bilion) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang diumumkan semalam serta SGD50 juta (RM150 juta) daripada Singapura sebagai petanda awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan dalam masa sama memulihkan reputasi Malaysia.

“Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB. “Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain dan pada masa yang sama akan memperkukuhkan kawalan dalaman dan inisiatif anti-rasuah supaya perkara sebegini tidak dapat berlaku lagi di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua aset yang telah diterima daripada DoJ adalah kapal mewah Equanimity bernilai RM517 juta dan Syarikat Perfileman Red Granite bernilai RM234 juta.

Satu lagi aset iaitu iaitu Park Lane Hotel di Manhattan, New York bernilai RM570 juta masih dalam proses pemulangan.

Setakat ini, Malaysia telah menerima aset bernilai SGD15 juta (RM45 juta) daripada Singapura. Bakinya masih dalam proses.- MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply