Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Sukan

Pemain TFC masih hebat walaupun ketiadaan Irfan

KETIADAAN Irfan Bakti Abu Salim tidak akan menjejaskan tumpuan pemain Terengganu FC (TFC) untuk mengutip tiga mata penuh apabila berdepan Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Razak, Jengka malam esok.

Jaminan itu diberikan penolong jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang kini memangku tugas ketua jurulatih, selepas Irfan Bakti mengambil keputusan drastik melepaskan jawatannya semalam, susulan prestasi tidak menentu skuad Penyu dan kemuncaknya apabila tewas 3-5 kepada PJ City FC di laman sendiri, Selasa lepas.

“Sebagai jurulatih, saya perlu memikul tanggungjawab ini dan teruskan apa dilakukan ketua jurulatih Irfan Bakti buat dahulu kerana beliau sebenarnya sudah memberikan yang terbaik.

“TFC tidak ada masalah bertemu Felda United, sebab pasukan ini dibentuk hasil kombinasi dengan Irfan Bakti sejak dua tahun lepas. Jadi saya tahu cara beliau dan beliau pun tahu cara saya,” katanya ketika ditemui di Stadium Gong Badak di sini, semalam.

Nafuzi yang pernah menyarung jersi Terengganu dan membantu skuad Penyu menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada 2001, berkata keputusan peletakan jawatan itu sememangnya mengejutkan dan amat dirasai pasukan, apatah lagi di saat mereka masih memerlukan ‘sentuhan ajaib’ Irfan Bakti untuk meneruskan cabaran dalam liga itu.

Beliau, bagaimanapun menafikan spekulasi bahawa perkara itu berpunca daripada masalah dalaman Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), sebaliknya sedikit sebanyak mungkin didorong oleh desakan daripada penyokong itu sendiri. “Seluruh pasukan terkejut dengan pengumuman itu dan saya juga dapat tahu hanya melalui laman sosial rasmi PBSNT. Cuma dalam bola sepak, ada pasang surut serta jatuh bangun dan ketika ini keputusan nyata tidak memihak kepada kita,” katanya.

Beliau juga tidak menyalahkan penyokong kerana mereka juga berhak menyuarakan ketidakpuasan hati atas prestasi pasukan kesayangan mereka.

Pada masa sama, Nafuzi meminta pemainnya mempamerkan semangat juang tinggi dan mencipta kemenangan ketika menentang Felda United dalam usaha mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap TFC. – Bernama

Leave a Reply

Theme by Anders Norén