LONDON – Seorang pelajar Indonesia disifatkan sebagai ‘perogol paling prolifik’ di Britain selepas disabit dengan lebih 150 kesalahan, termasuk 136 kes rogol.
Dalam empat perbicaraan berasingan, Reynhard Sinaga, 36, didapati bersalah menyerang 48 lelaki yang ditemui di luar bar atau kelab, diberikan dadah dan membawa mereka pulang ke apartmennya di Manchester.
Kebanyakan mangsanya diumpan dengan tempat tidur atau minum dan dia merakam serangan dengan telefon bimbitnya, kata pendakwa, Crown Prosecution Service.
Di sebuah mahkamah di Manchester, hakim berkata Reynhard perlu menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 30 tahun untuk 159 kesalahan yang dilakukannya antara Januari 2015 hingga Mei 2017.
Pendakwaraya Ian Rushton menyifatkan Reynhard sebagai ‘perogol paling prolifik dalam sejarah undang-undang Britain’.
Mahkamah diberitahu mangsa kebanyakannya adalah heteroseksual dan tidak dapat mengingati atau hanya dapat mengingati sedikit serangan yang dilakukan.
Bagaimanapun, tertuduh ditahan selepas seorang mangsanya melawan ketika diserang dan melarikan diri ke sebuah balai polis bersama sebuah telefon bimbitnya.
Polis kemudian menemui bahan grafik yang bersamaan dengan 250 cakera padat digital atau 300,000 gambar berkaitan serangan seksual Reynhard dalam telefon itu. – Reuters
Leave a Reply