SUAMI isteri cedera selepas bergelut dengan peragut dalam kejadian di Kampung Keting di Bachok, pagi hari ini.
Dalam kejadian 11 pagi tadi, mangsa Alias Awang, 64, parah di tangan dan kaki kanan manakala isterinya, Rahimah Mat Hasan, 56, cedera di mulut.
Alias kini masih di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan.
Rahimah pula sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Gunung, Bachok.
Anak mangsa, Mohammad Ayub Alias, 35 berkata, ketika kejadian ibu bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pauh Lima, Bachok dengan motosikal Honda Ex5 selepas mendengar kuliah agama di Pasar Selasa di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh.
Katanya, sebaik keluar dari Pasar Selasa, ibu bapa dikejar dua peragut yang turut menaiki motosikal dari arah Kedai Menanti ke Kampung Keting, Bachok.z
“Menurut cerita ayah, dua peragut itu tiba-tiba mengejar mereka dan cuba merampas beg yang diletakkan di atas riba mek (ibu).
“Tindakan itu menyebabkan ayah dan mek terjatuh daripada motosikal menyebabkan mereka cedera teruk.
“Seorang daripada peragut cuba merampas beg, namun gagal apabila mek sempat memulas tali beg dan kebetulan penduduk kampung melalui jalan itu menyebabkan dua peragut melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ayub berkata, pihaknya akan membuat laporan polis sebaik selesai mengurus bapanya masuk wad di HRPZII, Kota Bharu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi meminta keluarga mangsa segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply