PASIR MAS – Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Latheefa Koya disaran memberi keutamaan kepada kes dakwaan pimpinan Pas menerima dana RM90 juta.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya ada individu dari parti itu terlibat dengan dana tersebut pihaknya mahu ia segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, kes itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi membersihkan nama dan maruah parti berkenaan.

“Seandainya tiada yang terlibat dengan isu tersebut sebagaimana didakwa, sila buat kenyataan segera.

“Hal ini bagi membersihkan Pas daripada tuduhan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahamad.

Sebelum ini editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi dengan menambah wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Dalam pada itu, Najib juga menafikan memberikan wang kepada pemimpin Pas serta memaklumkan akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, Pas sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama bagi menyelesaikan isu tersebut. – UTUSAN ONLINE.

Loading...