Bukan sekadar blog

Berita Utama

Padah hina ulama, Khalid Samad dikepung di Kuala Terengganu

PENGARAH Komunikasi PAN Khalid Samad dikepung sekurang-kurangnya 20 individu tidak dikenali malam tadi di Kuala Terengganu, kata Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Bagaimanapun, pengerusi PAN Terengganu itu berkata ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun tidak cedera kerana sempat memasuki keretanya.

“Ya, kami patutnya ada majlis di Kuala Terengganu tetapi dibatalkan kerana wabak Covid-19. Kami kemudian memutuskan untuk bersiaran langsung di Facebook di ibu pejabat PAN untuk membincangkan senario politik semasa.

“Selepas tamat siaran langsung FB selama dua jam itu, kami meninggalkan bangunan PAN di mana sekurang-kurangnya 15 sehingga 20 lelaki tiba-tiba muncul. Mereka memaki kami tetapi sasaran mereka ialah Khalid Samad.

“Khalid berjaya masuk ke kereta yang membawanya dan terus pergi ke balai polis berhampiran. Kumpulan lelaki itu agresif dan kasar.

Nasib baik Khalid sempat masuk kereta,” kata Raja Kamarul yang juga merupakan bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Usaha menghubungi Khalid setakat ini masih gagal dan difahamkan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu dalam perjalanan pulang ke Lembah Klang.

Sementara itu, Raja Kamarul berkata kumpulan lelaki itu turut menunggu Khalid di depan Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Ditanya sekiranya beliau mengesyaki kumpulan bertanggungjawab, Raja Kamarul berkata beliau percaya mereka adalah “penyokong sebuah parti politik”.

“Mereka ikut Khalid dan tunggu dia di luar balai polis. Menunjukkan mereka besar kepala. Kami tahu siapa mereka, ada antaranya kami kenal.”

“Mereka menjerit-jerit beritahu kami supaya tak sentuh ‘Tok Guru’ mereka, jadi kami tahu mereka siapa.”

“Mereka baru dapat kuasa dua minggu dan sudah tunjuk mereka lebih tinggi daripada undang-undang. Ini bahaya. Mereka jelas sekali tak takut dengan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Sumber polis Kuala Terengganu yang dihubungi mengesahkan laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. – 14 Mac, 2020.

Loading...

Leave a Reply