Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Info

Orang Terengganu yang bijak dan cemerlang, inilah antaranya…

SABAN tahun, Terengganu muncul antara negeri terbaik dalam peperiksaan awam utama sejak sekian lama. Bukan itu sahaja, ramai kalangan anak Terengganu yang menempa nama di peringkat kebangsaan, malah antarabangsa dalam pelbagai bidang, termasuk inovasi, teknologi dan sukan. Berikut ini adalah antaranya.

WAN NUR FAEZAH WAN MUSTAFA, 23


Anak kepada seorang petani ini berjaya memperoleh First Class (Hons) Ijazah Perakaunan dari University of Liverpool, England baru-baru ini. Berasal dari Kampung Pinang, Besut, Wan Nur Faezah memperoleh keputusan 8A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014. Dia kemudiannya menyambung pelajaran di International Baccalaureate Kolej Mara Banting, sebelum menyambung pengajian di England.

WAN NUR MAFUDAH WAN YUSOF, 21

Anak jati Kampung Tok Raja, Jertih yang memiliki kelulusan daripada Kolej Intec, Kuala Lumpur ini mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang diumumkan Februari lalu.

Wan Nur Mafudah juga merupakan anak Melayu pertama yang berjaya mendapat tempat teratas di peringkat dunia dengan memperoleh markah tertinggi iaitu 95 peratus. Kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu sebelum ini ialah tempat kedua, ketiga dan keenam bagi tempoh 2015 hingga tahun lepas.

DR MOHD FIRDAUS SAMSUDIN@MUSTAPHA, 30

Anak kelahiran Kampung Kemat, Hulu Terengganu ini bertugas sebagai Felo Penyelidik Kimia di University Of Southampton, United Kingdom. Merupakan anak Terengganu pertama menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam jurusan biokimia di Universiti Oxford.

Dr Mohd Firdaus berjaya mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama di Imperial College of London, kemudian mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Oxford. Hasil kajian beliau mengenai penyerapan ubat yang lebih cepat ke dalam sel badan menyebabkan Universiti Oxford menawarkannya tempat untuk mengikuti pengajian peringkat PhD.

DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR

Menteri Besar Terengganu ini merupakan anak kelahiran, Jerteh, Besut. Beliau merupakan seorang pakar kejuruteraan aeroangkasa berkelulusan PhD dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion, High Altitude Engine Failure dari University of Leeds, United Kingdom.

Dr Ahmad Samsuri juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Sains Pembakaran dan Tenaga dari University of Leeds. Sebelum itu beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Material, UKM.

PROF. DATUK DR. NOR AIENI MOKHTAR

Merupakan Naib Canselor wanita pertama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan di Pantai Timur. Dr. Nor Aieni adalah pakar dalam bidang Kejuruteraan Kelautan dan Pantai, Instrumentasi, Dasar Lautan, Pengurusan Data Oseanografi dan Biodiversiti Marin.

Anak jati Kampung Raja, Besut ini juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari State University of New York dan mempunyai Sarjana dalam bidang Physics-ionization dari Universiti College of Swansea, UK dan juga pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Physics-Laser Technology dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1992.

PROF. DATUK DR. AHMAD ZUBAIDI ABDUL LATIF

Pakar bedah neuro terkemuka negara ini merupakan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Anak kelahiran pekan Bukit Payung, Marang, ini merupakan doktor kelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pernah menjadi Felo di Royal College of Surgeon, Edinburgh, United Kingdom dan memperoleh Ijazah Sarjana Perubatan (Surgeri) dari Universiti Malaya (UM).

Antara jawatan yang pernah dipegangnya ialah Ketua Neurosurgeri Institut Kanser Kebangsaan, Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur manakala di peringkat antarabangsa, Dr. Ahmad Zubaidi pernah menjadi konsultan dan felo di United Kingdom, Australia serta Jerman.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Theme by Anders Norén