KUALA TERENGGANU – Nekbat, sejenis makanan tradisional yang dimakan selepas disira bersama air gula hanya popular pada Ramadan, namun permintaannya kini meningkat termasuk pada hari biasa sejak mula dipromosikan di laman sosial Facebook pada Ramadan tahun lalu.

Pengusaha kuih berkenaan Rokiah Deraman, 52, berkata, dia menerima tempahan 8,000 biji setiap dua minggu sekali daripada peniaga di seluruh negeri selain di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak.

“Disebabkan pembuatan nekbat agak rumit kerana kami masih mengekalkan cara pembuatan tradisional dengan menggunakan dapur arang dan sabut kelapa untuk membakarnya. Kami pula hanya menyediakannya setiap dua minggu sekali dengan dibantu empat pekerja termasuk dua anak iaitu Norshahidah Mohd Nasir, 28, dan Rabiatul Adawiah, 25.

“Kami mengumpul tempahan diterima sebelum disediakan secara serentak untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sebahagian besarnya pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Jerat, Pulau Musang, di sini.

Rokiah berkata, dia mewarisi cara pembuatan nekbat sejak 20 tahun lalu daripada arwah ibunya, Lembok Muhamad, 70, dan mengambil masa selama empat tahun untuk mempelajarinya.

“Ia hanya menggunakan telur dan tepung beras. Jika dilihat ia nampak senang disediakan tetapi sebenarnya prosesnya rumit kerana memerlukan kesabaran selain perlu menggunakan cara yang betul untuk mendapatkan hasil memuaskan.

“Nekbat pula hanya mampu bertahan selama tiga hari jika terdedah pada suhu bilik, tetapi ia mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan di tempat sejuk beku,” katanya.

Sementara itu, Rabiatul Adawiah berkata, dia tidak menyangka sambutan terhadap kuih nekbat berkenan meningkat tiga kali ganda selepas mempromosikannya di laman sosial Facebook sejak Ramadan tahun lalu.

“Ia dijual pada harga RM1 untuk empat biji dan 100 biji berharga RM22. Biasanya pelanggan akan menempahnya lebih awal bagi memberi kemudahan kepada kami menyiapkannya pada waktu yang dijanjikan.

“Penghantaran dibuat melalui pos kepada pelangan di negeri lain, sementara peniaga berdekatan akan datang ke rumah untuk membelinya,” katanya.

Katanya, tempahan nekbat yang diterima meningkat 5,000 biji sehari pada Ramadan dengan sebahagian besar tempahan itu diterima daripada peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri.

“Kebiasaannya empat hari sebelum Ramadan, kami mula menerima tempahan dan menyediakannya bagi memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Loading...